
Betapa indahnya sebuah harapan itu dapat direalisasikan dengan segala usaha kita dalam menjayakannya.
Harapan bagaikan bintang di malam gelap. Meskipun tersembunyi di balik awan dan jauh dari jangkauan tangan, kita selalu menatapnya dengan keyakinan. Seperti bintang, harapan memberikan cahaya dan arah dalam kegelapan. Meski tak selalu kelihatan, kita terus berpegang padanya, berharap suatu saat ia akan bersinar lebih terang dan menghampiri kita.
Dalam perumpamaan ini, harapan adalah seperti bintang yang kita lihat dari bumi. Meski kadang terasa jauh dan samar, kita tetap mempercayai keberadaannya. Seperti bintang yang memberikan inspirasi dan mengajak kita untuk terus bergerak maju, harapan juga mendorong kita untuk tidak menyerah dan terus berusaha.
Seumpama itu juga harapan bagi seorang mukmin untuk menghasilkan sebuah perjalanan hati yang suci semata-mata mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah Taala. Ia merupakan sebuah perjalanan yang panjang, penuh dengan cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi.
Namun, segala perkara itu adalah merupakan ujian sejauh mana tahap hati kita boleh diterima sebagai hati yang suci. Adapun asas perjalanan hati yang suci itu hanyalah datang daripada asas keimanan. Iman inilah yang membenarkan setiap amalan itu dikira dan diterima Allah Taala. Adapun apabila hati itu dipenuhi dengan perkara selain keimanan, ia akan dikira hati itu kotor, berkarat dan rosak. Maka, setiap amalan itu akan dikira sebagai sia-sia di sisi Allah Taala.
Namun demikian, Sang Pencipta kita benar-benar memahami keadaan makhluknya yang bernama manusia yang dipenuhi dengan sifat serba kekurangan dan kelemahan untuk menepis segala dosa dan maksiat yang sentiasa wujud di sekelilingnya. Sama ada kecik ataupun besar, ia mudah untuk terjerumus secara sedar ataupun tidak. Dengan memahami itu, Tuhan kita telah menghadirkan sebuah bulan yang istimewa untuk memberikan tawaran emas kepada hamba-hambanya supaya dapat menikmati ibadah untuk mengingati Nya dan meminta ampun segala dosa yang lalu sebagai bekalannya di syurga kelak.
Firman Allah Taala:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. {al – Baqarah: 185}
Kehadiran bulan ramadan menandakan umat islam disyariatkan berpuasa. Istilah puasa bererti kita menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkannya dari tempoh masuk waktu subuh sehingga masuk waktu maghrib. Tujuan puasa adalah untuk membebaskan ikatan kita dari nafsu, supaya kita benar-benar tunduk dan taat sepenuhnya kepada Allah Taala.
Kehadiran bulan ini juga membawa erti sebuah pengharapan besar buat keseluruhan mukmin untuk menggandakan amal ibadah, memperbanyakkan minta keampunan dan menyelaraskan semula kehidupan kita ini supaya selari dengan syariat Allah Taala. Jadi, betapa ruginya seseorang itu terlepas dan terleka dari tawaran Allah Taala ini.
Tidak lupa juga, keistimewaan bulan ini selain amal ibadah dilipatgandakan, Allah Taala akan mengikat syaitan-syaitan ke dalam neraka sepertimana disebutkan dalam sebuah hadith Nabi SAW yang masyhur daripada riwayat Imam Tirmizi RHM:
إذَا كَانَ أوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِرَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِيْنُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِيْ مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلِكَ كُلُّ لَيْلَةٍ
“Jika awal Ramadhan tiba, maka syaitan-syaitan dan jin dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Sedangkan pintu-pintu syurga dibuka, dan tidak satu pintu pun yang ditutup. Lalu ada seruan (pada bulan Ramadhan): Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu. Pada setiap malam Allah s.w.t memiliki orang-orang yang dibebaskan dari neraka.”
Hadith Nabi SAW ini memberikan kita isyarat bahawa segala gangguan dari syaitan tidak ada di dalam bulan ramadan dan yang ada hanyalah rakan sekeliling dan nafsu kita sendiri. Ukuran sejauh mana kita benar-benar beriman adalah ketika hanya di bulan ramadan sahaja. Kita tidak boleh nak salahkan syaitan apabila kita bermaksiat dan melakukan dosa pada bulan tersebut. Kita hanya mampu menyalahkan diri kita yang mendorong maksiat dan dosa itu dilaksanakan.
Dengan segala keistimewaan yang dikurniakan, orang beriman sepatutnya meletakkan sekurang-kurangnya 3 harapan utama ini untuk menjadikan kita tidak rugi apabila melalui ramadan berkali-kali. Antaranya ialah
Bagaimana ukuran dosa kita diampunkan itu dengan melihat sejauh mana tabiat buruk dan jahiliyah kita yang bersarang ini dapat berubah kepada meninggalkannya serta menggantikannya dengan amalan yang terpuji.
Sebagai contoh, seorang perokok yang berkeinginan untuk meninggalkan perbuatan merokoknya itu. Apabila hadirnya ramadan, dia tekad dan berazam untuk menggunakan peluang ramadan ini untuk mengurangkannya dan meninggalkan perbuatan tersebut. Akhirnya, apabila dia berjaya mengurangkan ketagihan atau lebih baik meninggalkan, maka perokok itu dikira dosanya terampun. Seperti itu juga, kita mengambil situasi ini seperti maksiat yang lain. Seperti, dosa suka mengata orang, mengumpat, tabiat kita suka marah, atau dosa kerana meninggalkan solat fardhu sebab kelalaian kita selama 11 bulan.
Sebuah hadith Nabi s.a.w yang sahih dari Imam Bukhari :
Nabi s.a.w naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, Amin, Amin”. Para sahabat bertanya, “Kenapa engkau berkata ‘Amin, Amin, Amin, Ya Rasulullah”?
Nabi SAW menjawab, “Telah datang malaikat Jibril A.S dan ia berkata, “Wahai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau, namun dia tidak berselawat kepadamu dan katakanlah amin”! maka kukatakan, “Amin”.
Kemudian Jibril berkata lagi, “Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadan tetapi keluar dari bulan Ramadan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin”! maka aku berkata: ‘Amin’.
Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi justru tidak memasukkan dia ke surga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.” (Hr Al-Bazzar, Hakim, dan Bukhari)
Selepas kita memahami harapan yang pertama, kita perlu ingat antara syarat dosa kita diampunkan adalah dengan menggantikan maksiat dan dosa kita dengan memperbanyakkan amal soleh. Dengan erti kata lain, kita berasa lazat untuk melaksanakan segala syariat Allah Taala.
Penerimaan amal soleh kita diterima adalah berdasarkan tujuan sesuatu ibadah itu disyariatkan. Seperti, kesan solat akan berjaya meninggalkan perbuatan keji dan mungkar. Begitu juga ibadah puasa, tujuannya menundukkan nafsu kita supaya tidak menguasai kehidupan secara keseluruhannya. Manakala ibadah zakat, menyucikan hati dari sifat kedekut disamping dapat memberikan hak yang sepatutnya kepada yang memerlukan. Akhir sekali, ibadah haji atau korban dapat meningkatkan lagi ketaatan dan ketundukan kita kepada perintah Allah s.w.t. Ibadah haji adalah ibadah yang sudah ditentukan waktunya dengan makna kita harus meninggalkan aktiviti berbentuk duniawi untuk fokus beribadah bagi melebihi kepentingan akhirat. Kesemua ini adalah kesan daripada ibadat-ibadat khusus itu sendiri.
Namun, asas penerimaan amal yang semua kita pernah tahu ada 2 perkara iaitu niat ikhlas kerana Allah Taala dan wajib mengikuti cara Nabi Saw ataupun sunnah.
Amalan kebaikan tidak dihadkan melalui ibadah khusus semata. Sebagai contoh, menuntut ilmu, membaca al-Quran, membantu orang yang memerlukan dan berjihad menentang musuh dikira juga sebagai amal ibadah.
Kita sering menghadkan islam ini hanyalah bergantung kepada amalan khusus semata, sedangkan kesemua amalan kebaikan dan pekerjaan kita kalau diniatkan kerana Allah Taala, ia akan menjadi pahala dan bekalan di sisi Allah Taala. Disebabkan kita hidup ini bermasyarakat dan bernegara, kita tidak perlu membatasi amal ibadah kepada amalan yang khusus.
Justeru, harapan kedua ini adalah satu syarat untuk masuk ke dalam syurga. Seperimana yang disebutkan berkali-kali dalam Al-Quran :
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ٨٢
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya. { Surah Al- Baqarah : 82}
Akhir sekali, tercetusnya bulan ramadan ini dapat menjadikan kita lebih dekat untuk melazimi amal ibadah. Sewaktu ramadan kita mampu berikan masa untuk iktikaf, disamping itu juga kita mengharapkan ia dapat diteruskan pada bulan dan waktu yang lain. Sebagaimana contoh ibadah sunat yang lain, seperti solat tarawih, qiam, dan membaca al-quran. Apakah kita akan meninggalkan semua amalan ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan ini? Kekuatan tarawih lapan rakat, berpuasa 30 hari, dan bacaan Quran yang banyak seharusnya diteruskan.
Beberapa hadis yang dinukilkan daripada Rasulullah ﷺ seharusnya menjadi pemangkin buat kita untuk terus konsisten dalam melakukan amal ibadah seusai Ramadan. Antaranya ialah:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ : اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا ) .
Sabda Rasulullah ﷺ: ” Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: “Bacalah (al-Quran) dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagai mana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca”. (HR. Tirmizi dan Abu Daud)
Bagi bacaan al-Quran, Hadith Rasulullah di atas telah mengingatkan kita bahawa kedudukan seseorang di akhirat kelak adalah bergantung kepada akhir ayat yang dibaca. Lagi banyak di baca, lagi tinggi kedudukan kita.
Kemudian bagi amalan berpuasa pula, Rasulullah ﷺ dikatakan konsisten berpuasa tiga hari setiap bulan (selain Ramadan). Berpuasa tiga hari ini hanyalah 10% sahaja daripada jumlah puasa Ramadan kita sebanyak 30 hari. Perkara ini diceritakan oleh Aisyah dalam sebuah hadis:
عن مُعَاذَةُ الْعَدَوِيَّةُ، أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ؟ “، قَالَتْ: “نَعَمْ”، فَقُلْتُ لَهَا: “مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ كَانَ يَصُومُ “، قَالَتْ: لَمْ يَكُنْ يُبَالِي مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ يَصُومُ
Maksudnya: Muazah pernah bertanya kepada Aisyah: Apakah Rasulullah berpuasa tiga hari pada setiap bulan? Aisyah menjawab: “Ya.” Muazah kemudian bertanya: Rasulullah berpuasa pada hari apa (berkenaan 3 hari tadi)? Aisyah menjawab: Baginda tidak kisah dari hari apa pun.”
Ini bermakna, Bagindaﷺ akan meneruskan amalan berpuasa ini sebanyak tiga hari setiap bulan, tidak kira hari apa pun. Keutaaman Baginda ﷺ adalah sentiasa konsisten meneruskan amalan berpuasa yang telah kita lakukan sepanjang bulan ini.
Akhir sekali, bagi amalan solat tarawih pula, kita boleh terus konsisten melakukannya dengan solat sunat witir setelah isyak.
Sepertimana yang diceritakan dalam riwayat Saidina Abu Hurairah bahawa Rasulullahﷺ berpesan kepada beliau tentang tiga amalan yang tidak pernah beliau tinggalkan sepanjang beliau hidup iaitu “(1) Solat witir, (2) Puasa tiga hari setiap bulan dan (3) Solat Duha (HR al-Bukhari). Kata Abu Hurairah.
Kesimpulan, kehadiran Ramadan merupakan kurniaan agung buat kesemua mukmin daripada Ilahi. Kita semua menginginkan suasana kebaikan yang dirasai dalam ramadan terus wujud ketika berada di bulan yang lain. Begitu juga dengan keampunan dan pembebasan dari dibelenggu oleh nafsu, kita sangat mahu Allah Taala menerimanya dan mengampuni segala dosa dan maksiat kita yang terdahulu, yang lebih penting adalah hati kita suci murni bila kita dapat bertemu dengan Allah Taala di akhirat kelak.
Justeru, marilah kita menggunakan peluang yang sebaiknya apabila datangnya ramadan. Semoga kita dapat menghidupkan hati dan jiwa kita serta mendapat masuk syurga yang tertinggi di akhirat kelak melalui pintu golongan berpuasa yang bernama Ar-rayyan.
Ust Amirul Hadif
Fakulti Bahasa Arab, Universiti al-Azhar.
Kolumnis Tinta Azhari.