
Kebiasaan seorang mukmin pasti mendambakan kebaikan yang berpanjangan dan berterusan daripada Sang Penciptanya. Ini kerna setiap kesyukuran yang dijanjikan pasti akan menambahkan lagi ketenangan dalam meniti perjalanan hatinya. Berikutan sebelum ini kita telah dipertemukan oleh sebuah bulan yang dikurniakan dengan segala kelebihan dan keistimewaan apabila kita menghayatinya dengan cemerlang iaitu bulan ramadan.
Namun begitu, kebaikan sememangnya tidak pernah mempunyai had bulan ataupun waktu-waktu yang tertentu. Ia hanya akan terputus sekiranya kita menghembuskan nafas terakhir di dunia ini. Setiap hayat kita ada tempoh berakhirnya. Oleh itu, Allah Taala semestinya benar-benar mengetahui akan keadaan & perasaan setiap hambanya yang sentiasa mempunyai kekurangan dan kelemahan dalam mengharungi dunia ini walaupun sudah ditawarkan “emas” yang bernilai. Sebenarnya, Dia hanya mengharapkan hamba-hambanya terus-menerus mengingati, percaya dan sentiasa tunduk patuh terhadapNya walau apapun keadaan yang berlaku.
Justeru, sewaktu kita merayakan aidilfitri, Allah Taala telah menawarkan lagi satu pakej amalan sunat yang khusus pada bulan syawal iaitu puasa 6 hari.
Dalam sebuah hadith yang sahih dari seorang sahabat bernama Abu Ayyub Al Ansori, Baginda Rasul ﷺ telah bersabda :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barang siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh”. (HR. Muslim)
Pada hadith ini tersirat sebuah dalil yang kuat tentang penganjuran puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan pendapat inilah yang dipilih oleh mazhab Imam Syafi’i, Imam Ahmad dan Imam Abu Daud serta yang sependapat dengan mereka.
Sedangkan ada satu Riwayat dari mazhab Imam Malik menyatakan makruh. Imam Malik RHM menganggap puasa 6 hari pada bulan Syawal adalah makruh dan tidak disunatkan, kerana hadith yang diriwayatkan berkenaannya bertaraf “ahad” dan ia tidak diamalkan oleh penduduk Madinah pada zaman beliau yang menjadi salah satu dalil penting dalam mazhab beliau. Ia juga dimakruhkan kerana takut puasa 6 hari pada bulan Syawal disangka wajib oleh orang-orang jahil dan dianggap sebagai sebahagian daripada bulan Ramadhan.
Namun hujah ini ditolak oleh 3 mazhab mu’tabar yang lain iaitu Hanafi, Syafi’e dan Hanbali kerana hadith yang sahih dan jelas meskipun bertaraf “ahad” sudah cukup untuk dijadikan hujah tanpa perlu disandarkan kepada amalan penduduk Madinah. Kebimbangan yang ditimbulkan oleh Imam Malik juga tidak lagi berlaku dan perbezaan antara bulan Ramadhan dan Syawal adalah jelas.
Galakkan kita berpuasa ini semestinya mempunyai banyak manfaat yang kita boleh hayati dan memahaminya agar kita tidak sambil lewa dan terikut-ikut dalam beramal. Diantaranya ada 2 sebab untung mengamalkan puasa 6 hari di bulan syawal ini :
Berdasarkan hadith itu juga, kita dapat merasakan betapa besarnya ganjaran amalan puasa ini walaupun ia sunat. Dengan syarat, kita dapat menyempurnakan puasa 30 hari di bulan ramadan. Namun, bagaimanakah perkiraan 6 hari berpuasa itu boleh menyamai puasa setahun?
Terdapat satu lagi hadith Nabi ﷺ diriwayatkan dari Tsauban R.A :
مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ (مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا)
“Barang siapa berpuasa enam hari setelah hari raya Aidi Fitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh. [Barang siapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan seumpamanya].” (HR. Ibnu Majah dan disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Irwa’ul Gholil)
Berdasarkan hadith di atas, kita dapat melihat cantiknya perkiraan Sang Pencipta kita untuk mengggadakan kebaikan kepada keseluruhan mukmin. Hadith itu menunjukkan bahawa orang yang melakukan satu kebaikan akan dapat sepuluh kebaikan yang sama sepertinya. Puasa ramadhan adalah selama sebulan bermakna akan sama dengan puasa 10 bulan. Puasa syawal adalah enam hari bermakna akan sama dengan 60 hari yang bersamaan dengan 2 bulan. Oleh itu, seseorang yang berpuasa ramadhan kemudian berpuasa enam hari di bulan syawal akan mendapatkan puasa seperti setahun penuh. (Lihat Syarh An Nawawi ‘ala Muslim, 8/56 dan Syarh Riyadhus Sholihin, 3/465).
Segala puji bagi Allah yang telah memberikan nikmat ini bagi setiap hambanya untuk selalu mengingati dan bersyukur terhadap pemberiannya.
Antara sebab lain mengapa puasa syawal ini istimewa adalah dia boleh menampung kekurangan amalan puasa ketika di bulan ramadan. Kebanyakan ulama’ menyamakan puasa sunat syawal ini sama seperti dengan solat sunat rawatib yang mampu menampung kekurangan ketika menunaikan solat fardu. Amalan sunnah seperti ini akan menyempurnakan kekurangan dan cacat yang ada ketika menunaikan amalan wajib. Setiap orang pasti memiliki kekurangan dalam menjalankan amalan wajib, justeru pada amalan sunnah inilah yang pasti akan menyempurnakannya.
Kalau kita membiasakan diri untuk berpuasa setelah berlalunya ramadan, maka ganjaran puasa ramadan itu dikira oleh Allah taala. Ini kerana apabila kita ingin mengetahui tanda-tanda amalan kita diterima oleh Allah SWT, maka Dia akan menolong kita dalam meningkatkan keimanan dan kemanisan dalam beribadah.
Imam al-Hasan al-Basri pernah menegaskan:
فإذا قبل اللهُ العبدَ فإنه يُوفِّقه إلى الطاعة، ويَصْرفه عن المعصية
“Sekiranya Allah Taala menerima amalan seseorang, maka dia akan membimbingnya untuk melakukan ketaatan yang seterusnya dan memalingkan hambaNya dari maksiat.”
Kelebihan puasa Syawal juga akan menghasilkan pahala pada hari-hari raya aidilfitri yang merupakan hari untuk memberikan hadiah. Maka dengan membiasakan puasa setelah aidilfitri ini merupakan salah satu bentuk rasa syukur atas nikmat ini. Hakikatnya, tidak ada nikmat yang lebih baik dari pengampunan segala dosa.
Berikutan huraian berkenaan dengan keistimewaan puasa syawal untuk kita ambil peluang untuk menunaikannya. Huraian ini tidaklah memaksa untuk melaksanakannya kerana ia hanyalah puasa sunat, tidak wajib dilaksanakan. Bagi yang ada peluang untuk melaksanakannya, teruskan beramal dan jangan menyindir saudara-saudara kita yang tidak melaksanakan puasa sunat tersebut. Boleh jadi, bulan syawal ini saja untuk saudara-saudara kita ini mengunjungi sanak saudara, keluarga, jiran dan kawan-kawan untuk beraya bersama.
Namun begitu, alangkah baiknya kita dapat menyusun kehidupan dengan sebaiknya. Kita mungkin sibuk mengurus pekerjaan, keluarga dan memenuhi hobi yang tertentu, namun kita tidak lupa juga untuk mencari peluang bertasbih dan beribadah kepada Allah Taala sentiasa, supaya kita dapat mengimbangi pekerjaan kita dengan perjalanan hati kita. Sekiranya hidup kita tidak meletakkan masa untuk beribadah kepada Nya, nescaya hati kita akan mudah menjadi kering dan keras. Perumpaannya seperti kehidupan sang robot yang hanya ditetapkan melakukan tindakan yang khusus dan terhad, dan tidak mampu memahami situasi dan perasaan seseorang dan sebagainya.
Itulah hakikat yang berlaku pada era modenisasi, banyak tekanan yang diperlukan untuk mencapai target tertentu, tetapi banyak yang melupakan bagaimana hendak menjaga hubungan dengan Sang Pemilik Rezeki dan Maha Berkuasa ke atas sesuatu perkara.
Sebagai kesimpulan, puasa 6 syawal ini merupakan sebuah peluang untuk kita membuktikan iman kita benar-benar dekat dengan Allah Taala, bukan sekadar bermusim atau waktu-waktu tertentu saja untuk kita mengingati dan beribadah kepada Nya. Keistimewaan sikap orang mukmin tidak pernah berasa cukup dengan amalan yang ada walaupun dikurniakan sebulan untuk berpuasa. Ia akan bertambah khusyuk, keimanan yang tinggi, pengorbanannya itu berterusan ke akhir hayat. Jadikan bulan ramadan itu sebagai pencetus untuk meningkatkan semangat beibadah kepada Nya dan kesan ibadah itu akan mengesani segala kehidupan kita ini.
كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا
Jadilah hamba Allah, bukannya hamba kepada Ramadan.
Wallahu A’aalam
Ust Amirul Hadif
Fakulti Bahasa Arab, Universiti al-Azhar.
Kolumnis Tinta Azhari.