Info Mesir

Tinta Azhari : Genosid Pertama Dalam Sejarah Manusia

May 11, 2024

Dunia kini sudah bercampur-baur dan muak dengan janji manis kepimpinan dunia barat. Keamanan dan kebenaran semakin lama semakin kabur di mata masyarakat dunia harini, seolah-olah dunia hari ini dipaksa untuk menerima kekejaman dan keganasan sebagai sebuah cara untuk menukarkan dan melahirkan keamanan yang hakiki. Hak kebebasan yang dituntut juga semakin bercelaru apabila orang yang menuntut itu menerima juga perlakuan jenayah keganasan dan kekejaman ini.

Perang Palestin – Israel hari ini, kita dapat lihat beberapa negara dan kebanyakan universiti di dunia eropah dan amerika telah menyatakan suaranya yang sebenar bahawa keamanan yang dibawa oleh kepimpinan dunia barat adalah sebuah retorik dan penipuan. Saban hari, kekejaman itu berlaku dan berlarutan. Hingga kini ia sudah memasuki hari ke 217. Namun fasa kekejaman dan pembunuhan ini bukannya bermula pada waktu tersebut, tetapi ia telah bermula semenjak tahun 1948 malah lebih awal daripada itu lagi.

Kejadian ini masih berlaku dan tiada noktah pengakhirannya. Kesudahan yang mereka cuba usulkan adalah penghapusan habis-habisan terhadap rakyat palestin dan gaza yang sedang mempertahankan hak dan maruahnya sebagai penduduk asal tanah tersebut. Namun, semangat rakyat palestin & gaza tidak pernah kalah dan berputus asa. Mereka kekal teguh mempertahankan maruah adalah kerana ianya merupakan tuntutan agama dan akidahnya. Mereka percaya dan sedar mempertahankan agama adalah segala-galanya berbanding mempertahankan nyawa, harta dan lain-lain.

Hakikat yang umat islam kena sama-sama bersatu adalah fasa pembebasan Al-Quds mesti dimulakan, dipertahankan dan dikembalikan sebagai asas akidah kita semua. Justeru, segala sumbangan untuk membebaskan adalah dituntut oleh semua umat islam, sama ada bermula dari berdoa, memboikot barang-barang yang menyalurkan bantuan kepada mereka, menyampaikan berita yang sahih dan sebagainya.

Hal ini kerana bangsa itu sudah rakus membunuh ribuan manusia yang tidak bersalah, sedangkan pembunuhan itu adalah jenayah terbesar dunia walaupun ia membunuh satu jiwa sahaja. Justeru, sebenarnya syariat islam sendiri sudah meletakkan garis merah terhadap jenayah pembunuhan ini kerana ia akan membawa kepada pembunuhan yang lebih dahsyat sekiranya ia tidak ada hukuman dan balasan kepada pembunuh tersebut walaupun korbannya hanyalah satu jiwa.

Sebelum kita dapat memahami genosid dari perspektif islam, kita kena kenali dahulu makna genosid ini.

Menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka, definisi bagi perkataan genosid ialah pembunuhan dan penghapusan secara sengaja terhadap sesuatu bangsa ataupun kaum. Sebelum tahun 1944, tidak ada istilah “genosida“. Istilah ini sangat spesifik yang merujuk kepada kejahatan dan kekerasan yang dilakukan terhadap kelompok masyarakat dengan tujuan untuk membasmi keberadaan kelompok itu. Hak asasi manusia, sebagaimana yang diusulkan dalam Deklarasi Hak-Hak (Bill of Rights) AS atau Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Universal PBB 1948, adalah terkait dengan hak-hak individu.

Pada 1944, seorang pengacara Yahudi Polandia bernama Raphael Lemkin (1900-1959) cuba menggambarkan tindakan pembantaian sistematis Nazi, termasuk penghapusan kaum Yahudi Eropah. Ia membentuk kata “genocide” (genosida) dengan menggabungkan kata geno-, dari bahasa Yunani yang berarti ras atau suku, dengan kata –cide (sida), berasal dari bahasa Latin yang berarti pembantaian. Ketika mengusulkan istilah baru ini, Lemkin membayangkan “sebuah rencana yang terancang dengan beragam aksi yang bertujuan untuk menghancurkan sistem dasar kehidupan kelompok masyarakat secara nasional, dengan maksud memusnahkan kelompok-kelompok itu sendiri.” Pada tahun berikutnya, Pengadilan Militer Internasional yang diselenggarakan di Nuremberg, Jerman, mendakwa pimpinan Nazi dengan “kejahatan terhadap kemanusiaan.” Kata “genosida” dicantumkan dalam dakwaan tersebut, tapi sebagai istilah deskriptif, bukan hukum.

Begitulah sejarah pertama bagi istilah genosid yang pernah berlaku sebelum ini. Hari ini kita dapat lihat sejarah itu berulang lagi dan kali ini ia sangat berbeza kerana ada yang menyokong tindakan ini dibuat dan ada yang senyap sepi dengan pembantaian tersebut.

Syariat islam sendiri telah menetapkan bahawa jenayah membunuh seorang manusia umpama kita membunuh keseluruhan manusia, berdasarkan firman Allah Ta’ala ini:

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya”.) (Surah Al-Maidah : 32).

Ayat di atas membawa erti genosid dari perspektif islam, iaitu dengan membunuh seorang manusia itu seperti membunuh semua jiwa manusia yang lain. Inilah merupakan panduan terawal semenjak berlakunya genosid pertama dan kedua ini. Al-Quran pada 1,400 tahun dahulu lebih awal lagi memberikan panduan penting kepada manusia. Panduan dari yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Bagaimana perkiraan dalam membunuh seorang jiwa manusia umpama membunuh jiwa semua orang?

Dalam menghayati makna Al-Quran, segala sudut dibolehkan untuk memberikan buah pandangan dan fikiran supaya ia dapat memahaminya dengan penuh keimanan dan bukannya berdasarkan andaian semata. Justeru, bagi ayat ini Dr Solah Abdul Fatah Al-Kholidi rhm lebih memilih untuk mengupas pada sudut psikologi. Beliau berkata bahawa:

“Membunuh seorang sama dengan membunuh semua orang, kerana sukar bagi seseorang untuk melakukan pembunuhan buat kali pertama. Dia akan mengalami perasaan keengganan, keraguan, ketakutan dan kebimbangan (seperti yang dilakukan oleh anak pertama Adam) kemudian kebatilan dapat menguasainya, akhirnya berlakulah permusuhan dan terus melakukan pembunuhan. Kesimpulannya, mereka semua dapat memecahkan halangan psikologi antara dia dan tindakannya sebagai pembunuh.

Jika pembunuh ini ingin membunuh orang lain untuk kali kedua, perbuatannya akan menjadi lebih mudah baginya dan penyesalannya akan berkurangan. Penderitaan, keraguan dan kebimbangan serta ketakutan akan hilang pada pembunuhannya buat kali ketiga, keempat dan kelima. Oleh itu, proses pembunuhan seterusnya bertukar menjadi pembunuh bersiri dan sudah menjadi perkara yang tidak pelik atau tidak memalukan. Dengan itu (maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya).

Secara fitrahnya, manusia ini diciptakan mampu berfikir perbuatan itu baik ataupun buruk. Terjadinya sesuatu perkara (membunuh) ini adalah berpunca daripada hasutan syaitan yang sangat halus. Musuh utama kita ini akan memberikan hasutan dan godaan sewaktu kita dalam keadaan yang paling lemah. Namun, hasutan itu juga mampu menutup pintu-pintu kebenaran yang lalu dihadapan mereka sehinggakan mampu membuat justifikasi yang membenarkan perbuatan itu berlaku. Syaitan akan terus menghasut sedikit demi sedikit, tetapi tindakan itu atas keputusan kita sendiri.

Sepertimana yang digambarkan dalam ayat sebelumnya berkenaan dengan kisah anak Nabi Adam A.S membunuh abangnya kerana hasad melalui firman Allah Ta’ala ini: “Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya”.

Tambahan pula, kisah sebelum ini mengisahkan tentang kedua anak Nabi Adam A.S yang melakukan pembunuhan atas sebab dengki, tetapi perkara yang didengki tidak penting untuk diceritakan dan diambil kisah kerana tidak diumumkan dalam Al-Quran.

Hikmah penceritaan ini adalah uslub Al-Quran itu sendiri bersifat memandu para pembaca dan pendengar itu supaya tidak mahu terngiang-ngiang dan meresap ke dalam akal fikiran dengan perbuatan itu. Sebaliknya, Al-Quran mahu mengajarkan kita tentang hikmah utama dari kisah tersebut iaitu dengan memahami kewujudan pertembungan hak dan batil itu sentiasa wujud dan kesan menjadi seorang pembunuh itu sepertimana dalam ayat 32.

Apakah kaitan kisah dua anak Nabi Adam dengan kaum bani israel tadi?

Seperti kita ketahui, jarak masa kedua-kedua kisah ini sangatlah jauh. Namun, hakikat Al-Quran dalam mengungkapkan hikmahnya tidak memerlukan tempoh dan individu yang tertentu, ia merentasi sepanjang zaman, tempat dan juga seluruh manusia. Kepentingan Al-Quran menyebutkan bani israel itu adalah kerana sejarah mereka banyak melakukan pembunuhan dan kerosakan disebabkan mereka mendustai syariat yang Allah Ta’ala perintahkan sewaktu sebelum zaman Nabi Muhammad ﷺ lahir.

Selain itu, antara punca mengapa disebutkan adalah dengan kesatuan risalah dalam menyebutkan prinsip-prinsip dan undang-undang. Maka, pembunuhan adalah merupakan sebuah tindakan jenayah yang dilarang dalam syariat Adam A.S kepada anak-anaknya dan seterusnya diwariskan dalam syariat bani israel, akhir sekali diwariskan dalam syariat Islam kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Realiti perpecahan yang berlaku adalah bermula dari kaum yahudi. Mereka masih percaya bahawa tuhan masih menerima dan memuliakan mereka, sedangkan mereka sendiri yang membuat pencabulan, penipuan dan pendustaan terhadap syariat tuhan dengan membuat undang-undang sendiri yang banyak melempiaskan nafsu semata-mata.

Sebagai kesimpulan, kita mesti menentang sekeras-kerasnya golongan pembunuh ini kerana ia akan menimbulkan permusuhan yang amat besar sekali, dengan mengambil tindakan kuasa kepada mereka untuk menghalang mereka daripada mengamalkan hobi mereka iaitu yang bersifat syaitan dan hina ini. Justeru, syariat agama kita sendiri telah memberi pesanan dan ingatan awal kepada manusia untuk berjaga-jaga dengan hati yang memilik perasaan dengki dan dendam, kerana syaitan akan membantu mereka untuk membuat perkara yang lebih dahsyat lagi sekiranya perasaan dendam itu tidak dapat dibendung dengan kata-kata yang baik ataupun tindakan untuk saling mendamaikan.

Mafhum hadith Nabi s.a.w yang membawa maksud: Setiap orang yang memulakan sunnah yang baik akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkan kebaikan itu akan mengalir sehingga hari kiamat, kerana dia akan menjadi suri teladan bagi orang lain dalam melakukan kebaikan. Sesiapa yang memulakan sunnah yang buruk pula akan mendapat balasannnya, balasan orang yang mengamalkan keburukan itu akan mengalir sehingga hari kiamat, kerana dia akan menjadi suri teladan bagi orang lain dalam amalan yang buruk.

Ingatlah, realiti kehidupan ini tidak akan dapat lari dari pertembungan golongan yang baik dan jahat. Iman ataupun kufur, syurga ataupun neraka. Setiap golongan memiliki gerabaknya dan orangnya yang akan dicontohi serta memiliki sumbernya yang utama. Iman datangnya dari Allah taala, Adapun sebaliknya kufur itu datang dari musuh utama kita iaitu iblis, termasuk sekutu-sekutunya yang membuat kerosakan dan pembunuhan di bumi yang mulia ini. Semoga kita sentasa diberikan petunjuk oleh Allah Ta’ala dalam mengharungi liku-liku kehidupan ini.

Wallahu A’lam

 

Ust Amirul Hadif
Fakulti Bahasa Arab, Universiti al-Azhar.
Kolumnis Tinta Azhari.

Artikel Terkini